Boleh pecut lebih 140km/j

04 October 2012

"BETUL ke kenderaan hibrid jimat minyak?" itulah soalan yang kerap ditanya untuk mengetahui keistimewaan kereta 'dua alam' apabila ia dijanakan enjin petrol dan motor elektrik.
Bagi penulis, kenderaan hibrid sememangnya menjimatkan dan amat berbaloi untuk dimiliki bagi yang menetap di ibu kota serta kerap menempuh laluan sesak.
Ini kerana, kenderaan kategori itu mampu mengurangkan penggunaan bahan api ketika di laluan sesak kerana enjinnya boleh terhenti, tetapi sistem penyaman udara atau audio masih lagi berfungsi seperti biasa.

Bagaimanapun, setiap kenderaan hibrid berada di pasaran mempunyai kelebihan dan perbezaan teknologi tersendiri.

Di negara ini, ada dua automotif gergasi Jepun menyediakan kenderaan hibrid dan satu daripadanya adalah jenama Honda.

Jenama itu menyajikan pelbagai jenis model jentera hibrid daripada kategori sedan, kompak atau sport selepas kerajaan melakukan pengecualian duti import kereta berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Selepas memperkenalkan Honda Jazz Hybrid, kini jenama itu melalui Honda Malaysia Sdn Bhd melancarkan Civic Hybrid dengan reka bentuk yang lebih menawan dan eksekutif menerusi generasi kesembilannya.

Bagi menguji kesahihannya, penulis sanggup memandu Honda Civic Hybrid ini dengan menempuh laluan sesak antara 5 hingga 6 petang ketika penghuni ibu kota berpusu-pusu pulang dari tempat kerja.

Ternyata tahap penggunaan minyaknya sangat minimum kerana enjin terhenti apabila kenderaan tidak bergerak sekiranya bateri Litium-Ion dicajkan sepenuhnya.

Walaupun enjinnya terhenti, penulis tidak perlu kepanasan dalam ruang kabin kerana semua sistem elektronik dan penyaman udara berfungsi seperti biasa.

Motor elektriknya bukan saja mengurangkan penggunaan minyak malah memberi kuasa bagi membantu meningkatkan prestasi enjin 1.5 liter i-Vtec yang mampu menghamburkan 108 kuasa kuda (hp).

Enjinnya dipadankan dengan Transmisi Pemboleh Ubah Terus (CVT) yang turut membantu mengurangkan penggunaan bahan api selain meningkatkan kuasa kilasnya.

Penulis bagaikan teruja sebaik menekan pedal minyaknya secara agresif kerana ia memberi daya tarikan dan kuasa pecutan mantap bagi enjin berkapasiti kecil itu.

Jentera ini mampu memecut di lebuh raya melebihi 140 kilometer sejam (km/j) sekali gus membuang tanggapan negatif penulis bagi sebuah kereta hibrid.

Pengendaliannya tidak ubah seperti kenderaan sedan biasa kerana ia mampu memasuki selekoh dengan stabil apabila bahagian hadapan dipadankan sistem suspensi topang MacPherson, sementara belakang pula dilengkapi 'Multi Link'.

Bagaimanapun, sistem suspensi ini hanya sesuai untuk pemanduan secara santai kerana ia tidak ditala untuk mengambil selekoh secara agresif.

Sementara itu, rekaan dalam ruang kabin, papan pemuka tampak futuristik dan sedikit unik di mana semua butang merangkumi audio, penyaman udara seolah-olah menghala kepada pemandu.

Panel meter elektroniknya juga dicipta secara interaktif apabila dipadankan dengan kombinasi warna menarik selain kehadiran butang mod Econ untuk membantu mengurangkan penggunaan minyak pada tahap minimum.

Panel meternya boleh bertukar warna daripada hijau kepada biru dan ia bergantung tahap pemanduan.

Jika anda menekan minyak dengan agresif, panel meternya bertukar biru dan menunjukkan ia menggunakan minyak yang maksimum.

Selain itu, Paparan Pelbagai Maklumat berukuran lima inci terletak di sebelah kiri panel meter memberi maklumat membabitkan audio, purata penggunaan minyak dan sokongan pengguna.

Ketika pertama kali melihat model ini secara lebih dekat, rekaan tampak mewah dan eksklusif kerana ia seakan-akan kenderaan ala coupe dengan bentuk hadapan kelihatan garang seperti muncung anak panah.

Ia juga kelihatan sedikit rendah jika dilihat pada bahagian tepi, mungkin ia bertujuan memberi daya aerodinamik sekali gus tampil berbeza dengan model Honda Civic terdahulu yang berada di pasaran di negara ini.

Pandangan belakangnya juga tampak lebar dengan kombinasi lampu belakang rekaan terbaru yang sedikit besar.

Bagaimanapun, model hibrid ini sedikit berbeza kerana dipadankan dengan rim aloi bersaiz 15 inci dengan bentuk aerodinamik untuk mengurangkan rintangan angin.



SPESIFIKASI

HONDA CIVIC HYBRID

ENJIN

Empat lejang SOHC I-VTEC+IMA

KUASA MAKSIMUM
108hp pada 5,500rpm (gabungan enjin dan motor elektrik)

TORK MAKSIMUM
172Nm antara 1,000 hingga 3,500rpm (gabungan enjin dan motor elektrik)

TRANSMISI
CVT

CIRI-CIRI KESELAMATAN
Beg udara, ABS, VSA,

HARGA
Bermula RM119,980

No comments:

Post a Comment