Kuala Terengganu: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerima permohonan daripada tujuh jurulatih yang berminat mengambil tempat Peter Butler sebagai ketua jurulatih skuad Penyu musim depan.

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh, berkata buat masa ini, pihaknya belum boleh mengumumkan nama mereka kerana masih di peringkat perbincangan dan berharap semuanya dapat ditentukan selepas tamat kempen Piala Malaysia nanti.
"Begitu juga dengan pemain baru yang kami ambil dan mesyuarat sebulat suara setuju menyerahkan tugas itu (pemilihan jurulatih dan pemain baru) kepada pihak pengurusan pasukan yang baru dilantik," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa PBSNT di Hotel Permai, kelmarin.

Mengenai rayuan Butler kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Che Mat berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada badan induk bola sepak negara itu dalam kes rayuan bekas jurulatih Terengganu itu.

Butler enggan komen

"Kami akan menyerahkan semua dokumen yang dipohon oleh FAM dan semua itu kami akan lakukan dalam masa yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Butler yang dihubungi semalam, berkata dia percaya FAM akan bertindak sewajarnya dalam mengendalikan kes rayuannya.
"Saya tidak boleh memberi komen mengenai kes ini namun saya yakin keadilan yang dicari akan saya temui nanti.

"Bukan saya saja yang menunggu keputusan rayuan ini, gabungan yang saya menjadi ahli seperti Persatuan Pengurus-Pengurus Liga Inggeris (LMA) juga berminat mengetahui perkembangan saya di negara ini," katanya.