Retina Kindle

02 October 2012

SELEPAS muncul buat pertama kali menerusi produk tablet Android November tahun lalu, Amazon.com Inc (Amazon) kembali mewarnai segmen produk pintar menerusi model terbarunya, Kindle Fire HD (Kindle HD).

Produk tablet terbaru yang dikeluarkan syarikat peruncit dalam talian terbesar dunia itu menyediakan tiga perkhidmatan aplikasi online dalam satu peranti iaitu koleksi bacaan, permainan dan filem.
Penganalisis industri teknologi turut menyifatkan kemunculan Kindle HD bakal mewujudkan saingan kepada produk iPad berdasarkan paparan Definisi Tinggi (HD) dan penyediaan aplikasi percuma melebihi 22 juta.

Kandungan yang ditawarkan dalam Amazon Apps pula merangkumi aplikasi lagu, majalah, buku digital, permainan dan aplikasi popular seperti Facebook, Twitter dan HBO GO.

Malah, saiz skrin yang dipertingkatkan kepada 8.9 inci berbanding 7 inci bagi model sebelumnya menyerlahkan penyampaian paparan imej atau video pada resolusi HD untuk piksel 1,920 x 1,200.

Kindle HD menggunakan sistem operasi Android 4.0 atau lebih dikenali Ice Cream Sandwich di kalangan kelompok peminat dunia teknologi (IT) berjaya meningkatkan aspek penyampaian HD yang diketengahkan syarikat itu.

Dari segi kuasa pemprosesannya pula, ia dipacu teknologi prosesor teras berkembar 1.5 GHz dengan kapasiti RAM 1GB serta slot memori sokongan sehingga 64GB.
Selain itu, ia adalah produk tablet pertama dibangunkan dengan sistem antena Wi-Fi berkembar dan Multiple In/Multiple Out (MIMO) iaitu teknologi yang dilengkapi dengan capaian video HD pelbagai.

Hasilnya, kedua-dua teknologi berkenaan berperanan meningkatkan kelajuan capaian internet (bergantung kepada penyedia perkhidmatan) kepada 40 peratus.

Pengasas, Pengerusi, Presiden dan Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos berkata, Kindle HD bukan hanya produk tablet canggih, aplikasi yang disediakan adalah ciri utama mampu menempatkan produk itu seiring dengan penyedia industri.

Menariknya, kandungan yang dibeli di Amazon Apps menerusi Kindle HD juga boleh digunakan pada platform sistem operasi lain seperti Windows, Mac, iOS dan permainan konsol.

Berbanding model pertamanya (Kindle Fire), kualiti paparan Kindle HD dipertingkatkan dengan teknologi paparan retina, manakala sistem audio pula dipadankan bersama sistem speaker ekslusif Dolby Digital Plus.

Reka bentuk produk tablet itu pula berasaskan binaan nipis pada 8.8 milimeter dan berat sekitar 567 gram.

Bagaimanapun, terdapat kelemahan pada fungsi rakaman apabila hanya menyediakan kamera HD di bahagian depan bagi memudahkan penggunaan aplikasi Skype.

Secara keseluruhan, Kindle HD adalah model komputer tablet terbaik dalam kelasnya yang mampu menawarkan kepuasan tontonan video dalam talian pada harga antara RM637 hingga RM1,917.

INFO:


Spesifikasi:


Kindle Fire HD 8.9 inci

# Sistem Operasi:
Android 4.0

# Berat:
567 gram

# Ketebalan:
8.8 milimeter

# Paparan:
8.9 inci; 1,920 x 1,200 piksel HD

# Sambungan:
microSD, USB 2.0, Micro HD Video, antena 2x2 MIMO

# Konfigurasi:
16GB, 32GB


TAHUKAH ANDA?

Amazon.com Inc yang diasaskan pada 1994 pada awalnya menyediakan perkhidmatan kedai buku dalam talian sebelum mengembangkan perniagaan mereka kepada penjualan produk DVD, CD, muat turun MP3, perisian, permainan video, barangan elektronik, pakaian, perabot, makanan, mainan kanak-kanak dan barang kemas.

Syarikat itu menghasilkan produk pengguna pertamanya dikenali Amazon Kindle pada 2007 sebelum memperkenalkan produk tablet Kindle Fire pada 2011.

No comments:

Post a Comment