Pontianak romantik

03 October 2012

ANTARA kisah pontianak yang mendapat perhatian peminat ketika ini ialah siri True Blood, yang kini sudah pun memasuki musim ketiga. Pada saat peminat hangat bercerita mengenai kisah cinta pontianak dan manusia dalam filem The Twilight Saga: Eclipse, siri True Blood juga sebenarnya mempunyai kisah yang tidak kurang hebatnya.
Siri ini dicipta dan diterbitkan Alan Ball, berdasarkan siri novel misteri The Southern Vampire Mysteries tulisan Charlaine Harris. Ia mengisahkan kehidupan manusia dan pontianak di sebuah pekan bernama Bon Temps, di Louisiana. Kisah bertumpu pada seorang pelayar bar yang mempunyai kuasa telepati, Sookie Stackhouse (Anna Paquin), yang jatuh cinta dengan pontianak, Bill Compton (Stephen Moyer).

Dalam musim terbaru, antara pelakon yang kembali menyemarak siri ini ialah Deborah Ann Woll, yang beraksi sebagai sebagai pontianak remaja, Jessica Hamby. Ikuti apa yang diperkatakan oleh Deborah mengenai watak dan pengalamannya dalam siri popular ini.

S: Anda berlakon sebagai pontianak remaja dalam True Blood, apakah pengalaman hidup anda sebagai remaja yang boleh dibawa ke dalam watak anda?

J:
Semua remaja melalui hidup yang penuh kucar-kacir serta juga kebahagiaan. Sebagai remaja, anda merasai pengalaman hidup secara mendalam. Ia mirip seperti kehidupan kekal dalam sebuah drama Shakespeare. Setiap peristiwa yang kecil akan terasa seperti sesuatu yang amat besar, seperti ia mampu mengubah jalan hidup. Pengalaman hidup remaja seperti inilah yang saya hembus ke dalam watak saya. Lagi pun, sebagai remaja, kita amat sedar akan diri kita, walaupun masih tidak tahu siapa kita akan jadi pada masa hadapan. Jadi ia satu kombinasi yang amat menyeronokkan.

S: Adakah anda mempunyai sebarang hala tujuan untuk watak anda selaku Jessica dalam musim ini?
J:
Saya bukanlah penulis cerita, oleh itu saya tidak tahu mengenai jalan cerita. Namun begitu, sesuatu yang menarik mengenai siri ini ialah, apabila kita berfikir mengenai pontianak, kita tidak dapat lari daripada idea golongan ini kekal muda secara abadi. Apa yang menarik mengenai watak Jessica ialah dia begitu terpaut dengan zaman remaja yang penuh cabaran dan kesulitan, hinggakan dia mempersoalkan adakah anda betul-betul mahu hidup dalam alam remaja untuk selama-lamanya? Pada pendapat saya, inilah yang mengubah idea zaman muda yang berkekalan di alam fantasi, dengan menyuntik sedikit sebanyak hakikat dunia sebenar. Ini amat menarik sekali.

S: Pontianak mempunyai wajah yang senantiasa muda dan hidup untuk selama-lamanya. Jika anda diberi peluang untuk menjalani hidup anda sekali lagi, apakah yang anda akan lakukan?

J:
Saya fikir, saya mahu menjadi lebih berani. Kadang-kala saya berasa saya seorang yang agak penakut, dan terlalu teliti sehinggakan saya akan menyelidik dengan teliti sebelum saya membuat sesuatu. Jika diberi peluang menjalani hidup semula, saya mahu bertindak mengikut dorongan hati dan mengambil risiko yang lebih.

S: Ramai gadis meminati siri ini kerana barisan pelakon yang menarik terutama sekali pelakon lelaki seperti Ryan Kwanten dan Alexander Skarsgard. Apa pendapat anda mengenai kedua-dua jejaka ini?

J:
Mereka amat baik sekali! Lelaki yang kacak dan tampan sering kali dikaitkan dengan sifat angkuh dan bongkak, tetapi jauh sekali bagi mereka berdua ini. Mereka jejaka yang betul-betul baik. Sepanjang hidup, saya agak terasing (ketawa), oleh itu, amat seronok sekali dapat bersama dengan golongan yang begitu baik.

S: Apakah cabaran lain yang anda hadapi ketika melakonkan watak Jessica?

J:
Pada pendapat saya, kadang-kala jalan cerita yang terpaksa kami lakonkan tidak secocok atau tidak menyeronokkan. Jadi, ada masa setelah sehari suntuk penggambaran, saya pulang ke rumah dengan membawa segala apa yang sudah saya lalui menurut penulis cerita. Saya pasti ada setengah pelakon yang lebih baik dari segi pengawalan perasaan mereka. Bagi saya pula, ada masanya saya pulang ke rumah dan terasa ingin menangis teresak-esak atau menelefon sahabat baik dan mendengar mereka mengingatkan saya bahawa saya masih seorang insan yang baik. Kadang-kala jalan cerita ini akan mempengaruhi hidup saya lebih dari apa yang saya mahukan.

S: Cerita ini menjadi siri hit yang mempunyai begitu ramai peminat setia. Adakah anda mempunyai sebarang pengalaman aneh dari peminat, atau sering dikenali di khalayak ramai?

J:
Saya tidak sering dikenali kerana saya fikir, saya tidak kelihatan seperti personaliti TV apabila saya keluar. Saya tidak berpakaian kemas dan agak selekeh, jadi orang yang melihat saya tidak akan berfikir "oh, dia pelakon televisyen". Dengan itu, saya jarang dikenali ramai. Namun begitu, kalau saya dicam, kebanyakan orang hanya mahu memberitahu saya bagaimana mereka meminati cerita ini. Satu kebaikan yang timbul ialah saya tidak sangka betapa besarnya sokongan peminat terhadap unsur kebajikan yang disokong oleh barisan pelakon. Teman lelaki saya mempunyai sebuah yayasan yang menyokong penyelidikan sejenis penyakit dan ramai peminat menderma kepada yayasan ini. Peminat menyertai, menjadi penaja dan menderma kepada tabung ini. Semua ini berlaku di luar jangkaan saya. Tidak sangka sama sekali peminat akan menjadi begitu terbabit dan ingin menghulurkan bantuan.

S: Bagaimana anda mendapat watak Jessica?

J:
Saya hanya pergi ke sesi uji bakat bersama sekumpulan gadis yang lain. Ketika itu, watak ini hanya untuk dua episod yang saling berulang. Mereka memerlukan Jessica sebagai pemangkin untuk sesuatu yang akan berlaku kepada seorang watak yang tetap. Selepas penggambaran untuk kedua-dua episod itu, saya menerima panggilan yang mengatakan mereka mahu meluaskan watak saya sebagai watak tetap pada musim kedua. Saya amat bertuah kerana masih diperlukan untuk musim ketiga dan, saya berharap untuk terus kekal ke musim keempat. Jadi, memanglah ini sesuatu yang amat tidak diduga, saya datang ke uji bakat, membaca dua adegan untuk penulis, penerbit dan pengarah dan seterusnya saya terpilih untuk memegang watak ini. Saya agak mereka suka akan perwatakan Jessica dan dapat melihat potensi watak ini, oleh itu mereka terus menghidupkan watak dan jalan cerita membabitkannya.

S: Sebelum True Blood, adakah anda meminati filem ngeri seperti filem pontianak atau raksasa, atau anda tidak menonton sama sekali filem sebegini?

J:
Oh, saya sangat meminati filem yang bersifat ngeri. Saya menonton filem ngeri popular seperti Wolf Man, Frankenstein, Mummy, Creature From The Black Lagoon dan sebagainya. Begitu juga filem Ray Harryhausen seperti It Came From Beneath The Sea. Malah saya juga menonton filem lama Jepun seperti Prince Of Space dan sebagainya yang begitu menggamatkan. Ya, memang saya amat meminati filem dalam genre ini dan saya sangat teruja menjadi sebahagian dari genre ini.

S: Adakah apa persamaan antara anda dan watak Jessica?

J:
Bagi saya, persamaan kami ialah kedua-duanya sangat romantik, semua yang kami lakukan adalah berdasarkan sama ada kami dikasihi atau tidak. Kami mempunyai tindak balas yang positif apabila kami dikasihi dan bersikap negatif apabila sebaliknya berlaku. Semua yang saya lakukan ditentukan perasaan kasih, dan saya berpendapat inilah diri saya yang sebenar, yang mempunyai persamaan dengan Jessica. Jika pelakon lain mengambil alih watak ini, mungkin watak ini akan bertukar wajah dari apa yang ada sekarang. Namun begitu, pada dasarnya, inilah diri saya yang sebenar dan oleh inilah yang ditonjolkan oleh watak dibawa oleh saya. Selain daripada itu, perbezaan yang ketara antara Jessica dan diri saya ialah dia seorang yang sangat didorongi oleh gerak hati manakala saya pula tidak akan membuat sesuatu tanpa menyelidik terlebih dulu dan kebiasaannya, dibelenggu ketakutan (ketawa). Saya tidaklah seberani Jessica.

S: True Blood memenangi banyak anugerah dan menjadikan Anna Paquin seorang bintang. Adakah anda berharap dapat memenangi anugerah untuk watak anda?

J:
(Ketawa) Saya juga harap begitulah, sebab semua pelakon mahu diiktiraf untuk sumbangan mereka. Namun begitu, saya masih baru dalam bidang filem dan dunia televisyen walaupun agak lama berkecimpung dalam bidang teater. Saya berkerja dengan keras, saya amat sukakan kerja ini dan saya rasa seperti masih tidak mencurahkan diri saya dengan sepenuhnya ke dalam kerjaya ini. Masih banyak yang mahu saya lakukan, saya akan ke set penggambaran setiap hari jika mereka benarkan (ketawa). Selagi peminat menyukai apa yang saya lakukan, dan industri ini menghargai kerja saya, hanya itulah yang saya perlukan untuk meneruskan kerja saya ini.

INFO:
Tayangan perdana True Blood musim ketiga adalah pada Isnin 19 Julai, jam 9 malam di HBO (Astro saluran 411) / HBO HD (Astro saluran 431). Sebuah episod baru akan ke udara setiap Isnin pada waktu yang sama, sehingga 4 Oktober. Siaran ulangan adalah pada Khamis, jam 10.30 malam dan Ahad, 2.30 petang. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.hboasia.com

No comments:

Post a Comment