Penyamun takut dikesan GPS

03 October 2012

KAJANG: Bimbang jejak mereka dikesan polis selepas menyedari terdapat alat sistem pengesanan global (GPS) dalam kereta yang disamun, tiga lelaki nekad meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan di Subang Bestari, Shah Alam bersama pemiliknya yang diikat, Ahad lalu.
Difahamkan, mangsa yang berusia 30 tahun sebelum itu disamun kumpulan lelaki terbabit di tempat letak kereta di rumahnya di Jalan Bukit Mewah, Kajang sebelum dibawa bersama menaiki kereta berkenaan.

Menurut isteri mangsa yang mahu dikenali sebagai Shida, 28, suaminya bagaimanapun berjaya diselamatkan dan ditemui di kawasan itu selepas dia membuat laporan polis beberapa jam kemudian.
"Seperti biasa, suami menghubungi saya memberitahu sudah berada di tingkat bawah meminta saya membuka pintu.

"Namun, selepas menunggu lebih 30 minit, suami tidak kelihatan dan saya mula berasa tidak sedap hati," katanya yang menghubungi telefon bimbit suaminya berulang kali, tetapi dijawab seorang lelaki dalam keadaan marah kononnya tersalah nombor.

"Saya mula curiga dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku sebelum menghubungi rakan sekerja memberitahu kejadian itu dan membuat laporan polis," katanya.
Shida yang kini tinggal bersama keluarga mentuanya berkata, suaminya disamun tiga lelaki yang sudah sedia menunggu di tempat letak kereta sebelum menyerang dan memukul mangsa.

"Saya mengesyaki lelaki terbabit mahu menculik suami saya kerana mereka membawanya bersama-sama kereta yang disamun, bagaimanapun hasrat itu dibatalkan kerana bimbang tindakan mereka dikesan polis melalui GPS yang dipasang dalam kereta," katanya.

No comments:

Post a Comment