Hargai sumbangan dakwah ABIM

06 October 2012

Tekan maksud pemodenan dalam Islam

Ketika dekad awal selepas kemerdekaan terutama selepas pembentukan Malaysia pada 1963, beberapa organisasi penting kependidikan, bahasa dan dakwah ditubuhkan bagi mengisi ruang pembangunan negara dan menggerakkan proses perkembangannya. Salah satu organisasi itu ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia baru saja menjalankan persidangan tahunannya atau muktamar ke-41 pada 29 hingga 30 September 2012 yang lalu. ABIM ditubuhkan secara rasmi pada 6 Ogos 1971.
Penulis ingin mengambil sedikit kesempatan berkongsi sumbangan ABIM terhadap pembangunan negara terutama dari segi perkembangan dakwah Islamiah. Ia sebagai suatu penghargaan terhadap ramai aktivisnya yang terus komited memastikan ketahanan dakwah dan kepesatan perkembangannya di negara kita.

"Wacana Islam yang diterajuinya didapati mengandungi unsur pemodenan dari segi perspektif dan amalan"
Kepemimpinan ilmu

Antara banyak sumbangan dakwah ABIM, peranannya dari segi kepemimpinan ilmu bagi merancakkan pertumbuhan wacana bercorak keislaman dalam bidang pemikiran, kebudayaan dan pembangunan negara paling menonjol. Peranan ini memang diakui ramai. Sekiranya kita merujuk karya mengenai Islam di Malaysia dan Asia Tenggara di banyak perpustakaan, nampaknya pengkaji memberikan tumpuan khusus terhadap peranan dan sumbangan ABIM dalam aspek ini. Dalam kata lain, tidak lengkap sesebuah karya yang membicarakan mengenai perkembangan Islam di rantau ini tanpa menyentuh peranan ABIM di Malaysia sejak empat dekad yang lalu.

Pengkaji mendapati wacana Islam yang dikembangkan ABIM memiliki keunikan dan kelainan berbanding wacana kebiasaan yang berkembang dalam negara pada waktu itu. Wacana Islam yang diterajuinya didapati mengandungi unsur pemodenan dari segi perspektif dan amalan. Misalnya, salah satu isu dalam wacana Islam yang dibincangkan organisasi ialah mengenai maksud 'pembangunan' dilihat harus menjadi sumber sandaran dan rujukan dalam agenda pembangunan negara. Penonjolan isu ini adalah satu bentuk perbahasan yang terlalu baru dalam konteks diskusi dakwah pada ketika itu yang dikatakan lebih di dominasi mengenai persoalan berkaitan hukum hakam ibadat.

Berkenaan wacana mengenai pembangunan ini, diskusinya mendapat perhatian meluas kerana ia tumbuh ketika negara sedang berada pada era awal perkembangannya. Pemimpin dan rakyat masih dalam pencarian satu kerangka kefahaman yang tetap untuk dijadikan sandaran bagi rancangan serta agenda pembangunan negara.
Peloporan wacana Islam mengenai pembangunan ini memberikan satu suntikan fikrah yang amat besar dalam suasana pemikiran rakyat yang baru saja bebas daripada kongkongan pemikiran penjajahan.

Perspektif segar

Wacana mengenai pembangunan yang dipelopori ABIM memberi perspektif segar terutama dalam meletakkan peranan agama ditingkat teras sebagai asas dan sandaran bagi agenda pembangunan negara. Dalam kata lain, pembangunan negara pasca kemerdekaan tidak boleh sama sekali terkeluar daripada kerangka dan semangat keagamaan dari segi cita-cita melihat sebuah kemajuan hidup yang makmur berasaskan dasar dan pelaksanaan yang adil serta saksama kepada segenap lapisan rakyat.

Pembangunan yang dituntut Islam harus memastikan pengagihan kekayaan yang sama rata dan menjamin penyertaan rakyat terbela dalam proses pembangunan.

Di samping isu pembangunan, wacana dakwah ABIM juga menimbulkan minat masyarakat yang tinggi terhadap pendidikan Islam. Berasaskan kerangka pemikiran reformisme Islam yang menjadi identiti khusus pergerakannya, ABIM menganjurkan masyarakat dan negara agar kembali berpaut kepada sistem pendidikan yang berteraskan prinsip tauhid dari segi kurikulum dan pengamalannya.

Generasi pembina tamadun

Dalam kerangka ini, peranan pendidikan tidak dilihat sekadar ejen bagi melahirkan tenaga kerja untuk pembangunan, tetapi membina generasi pembina tamadun manusia terbaik atau khayra ummah.

Bagi membuktikan kepentingan dan keunikan sistem pendidikan berasaskan Islam, ABIM sendiri menubuhkan institusinya sendiri. Berasaskan rekod mutakhir, ia kini memiliki dan menguruskan 16 sekolah di peringkat rendah dan menengah dengan jumlah guru seramai 370 orang dan pelajar seramai 5,740 orang.

Bagi program pendidikan awal kanak-kanak, ABIM mengendalikan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI). Kini terdapat sebanyak 273 TASKI di seluruh negara dengan jumlah guru seramai lebih 605 orang dan pelajar seramai 11,425 orang.

Sumbangan dakwah ABIM kini menjadi antara bahan kajian. Ia telah menerbitkan lebih 60 judul buku ilmiah. Dalam rekod perpustakaan di Universiti Malaya saja, terdapat sebanyak 33 tesis mengenai ABIM telah ditulis oleh ara pengkaji di peringkat prasiswazah, sarjana dan PhD. Sumbangan dakwah ini amat besar dan perlu dihargai oleh semua.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM dan bekas Presiden ABIM sesi 2009-2011

No comments:

Post a Comment