KUALA LUMPUR 19 Sept. - Semua pihak dinasihatkan tidak campur tangan dalam proses pilihan raya kampus bagi membolehkan mahasiswa menggunakan platform itu sebagai pentas berpolitik mengikut konteks yang dibenarkan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, campur tangan pihak luar hanya akan membantutkan proses pembelajaran mahasiswa selain matlamat pilihan raya kampus tidak dapat dicapai.
Sehubungan itu, katanya, adalah wajar pihak luar yang tidak berkaitan termasuk parti-parti politik memberi kerjasama agar ruang dan peluang mahasiswa mencorak dan memperjuangkan idealisme mereka yang mewakili suara penuntut dapat dilaksanakan.
"Pilihan raya kampus ini adalah waktu sesuai untuk kita memberi peluang kepada mahasiswa berdikari dan mengasah nilai serta bakat kepimpinan melalui ideanya sendiri tanpa pengaruh politik luar.
"Apabila sudah keluar daripada universiti kelak, terpulanglah kepada mana-mana pihak untuk mencampuri idealisme yang dibawa mahasiswa berkenaan namun selagi mereka adalah penuntut, perjuangan di dalam kampus perlu berkisarkan isu, hak serta kepentingan siswa sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas perkembangan pilihan raya kampus bagi memilih kepimpinan baru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2012-2013 yang dijadual berlangsung pada 25 September ini.
Menurutnya lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sudah dipinda dan disesuaikan namun itu bukanlah faktor untuk mahasiswa bertindak di luar batasan atau pihak luar menjadikan ia satu kesempatan untuk mempengaruhi kelompok ini.
"Saya faham psikologinya terdapat segelintir mahasiswa berjiwa muda yang sememangnya dipenuhi dengan semangat memberontak dan anti-establishment apa lagi kini dalam musim pilihan raya kampus.
"Namun diingatkan ia perlu berlaku dalam suasana idealisme mahasiswa yang sebenar dan membina tanpa berniat meruntuh serta menampilkan budaya negatif seperti menanam kebencian dan mereka cerita bagi menjatuhkan pihak lawan," jelasnya.
Tambah Mohamed Fadzil, mahasiswa perlu mengawal keghairahan berpolitik kerana pemilihan ini bertujuan membentuk satu barisan kepimpinan pelajar bukan barisan wakil rakyat negara.
"Barisan kepimpinan inilah yang akan bersama-sama pengurusan universiti dalam menggerakkan pembangunan mahasiswa termasuk membantu melahirkan aspirasi cemerlang," katanya.
Mengulas pemilihan wakil pelajar universiti berkenaan, Mohamed Fadzil berkata, sebanyak 14 kerusi akan dipertandingkan iaitu sembilan kerusi bagi kawasan fakulti dan lima kerusi bagi kawasan umum.
"Antara fakulti terlibat adalah Fakulti Kejuruteraan Pertahanan, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan serta Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan.
"Dijangkakan seramai 2,700 pelajar akan turun menjadi pengundi dan besar harapan universiti untuk melihat pengundian berjalan lancar tanpa gangguan atau provokasi yang tidak sewajarnya ," katanya.
No comments:
Post a Comment