Rita Rudani - SAYA BEBAS BERLAKON DGN SAPA2

28 March 2013

NAMA aktres jelita Rita Rudaini nampaknya semakin hangat. Selain sibuk naik turun mahkamah kerana masalah rumah tangganya bersama suami, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang masih belum menemui titik noktahnya, timbul pula isu bahawa suaminya itu pernah melarangnya berlakon dengan aktor kelahiran Singapura.
 
Banyak spekulasi timbul biarpun selepas dua aktor kelahiran Singapura, Adi Putra dan Aaron Aziz memberi komen masing-masing berhubung isu tersebut.
Sebelum ini Rita pernah berlakon dalam filem Balistik dan drama Sehangat Asmara bersama Adi Putra, selain bergandingan dengan Aaron Aziz menerusi drama Rahsia Hati.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu itu, ikuti temu bual Kosmo! bersama Rita baru-baru ini.
Kosmo!: Bagaimanakah isu Aidil melarang Rita berlakon dengan aktor Singapura ini boleh timbul?
RITA: Sebenarnya isu yang dibangkitkan ini merupakan isu lama bermula awal tahun lalu sebelum rumah tangga saya bergolak lagi. Ketika itu wartawan ada bertanya kepada saya kenapa kurang berlakon dan saya jawab untuk tumpu perhatian pada keluarga. Saya berlakon jika suami izinkan sahaja dan tidak akan berlakon dengan pelakon lelaki yang tidak diizinkan suami.
 
Jika isu lama kenapa boleh timbul kembali?
Cerita ini ada keluar dalam sebuah blog, kemudian sebuah lagi blog menggunakan artikel yang sama tetapi menambah perasa dan putar belit cerita untuk melariskan blognya. Orang yang baca ingat isu itu berlaku sekarang sedangkan isu itu sudah lama, itu yang menyebabkan saya marah. Jika ingin melariskan blog masing-masing janganlah buat dosa, kalau mahu tahu kisah sebenar teruslah tanya pada saya.
 
Adakah anda ada baca komen peminat berhubung isu ini?
Ya, saya ada baca komen orang luar mengenai isu ini di internet. Apa yang mengejutkan, mereka lebih tahu tentang hal rumah tangga saya berbanding diri saya sendiri. Jika tidak tahu, jangan beri komen kerana perkara yang kecil akan menjadi besar apabila ramai orang yang cuba masuk campur.

Apakah perasaan anda apabila peminat dan orang luar terlalu lantang bersuara tentang isu ini dan rumah tangga anda?
Terus terang saya sedih. Mereka cukup lantang memberi komen sedangkan yang berada di tempat itu adalah saya. Secara tidak langsung komen yang diberikan memberi kesan kepada saya yang sudah ada masalah rumah tangga.
 
Mungkinkah isu terbaharu ini memberi kesan kepada kerjaya lakonan anda?
Orang yang kenal saya secara profesional akan hubungi dan bertanya kepada saya. Buat masa ini, kerjaya saya berjalan seperti biasa kerana siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu bagaimana cara saya berkerja. Sekarang saya bebas berlakon dengan sesiapa sahaja.
 
Maksudnya Rita sudah tidak mengikut cakap suami?
Saya ada alasan kenapa tidak ikut cakap suami sekarang ini. Apa yang saya tahu, saya tidak perlu ikut cakap suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya dengan cara yang betul. Lakonan merupakan periuk nasi saya, jika saya tidak bekerja, siapa yang akan menyara saya dan anak-anak?
Selagi, saya tidak jatuhkan maruah seorang wanita dan cari rezeki yang halal untuk diri saya serta anak-anak, saya akan terus berlakon dengan sesiapa sahaja.
 
Khabarnya anda sekarang ligat berniaga?
Alhamdulillah, dalam saya sibuk kerja dan akan ke mahkamah pada 3 April serta 6 Mei depan, Allah beri rezeki kepada saya. Saya tidak pernah merancang untuk ceburi perniagaan kecantikan iaitu kolegen. Mulanya sekadar untuk suka-suka sahaja serta berkongsi rahsia kecantikan. Sekarang menjadi serius apabila semakin ramai pelangan memberi respons positif. Perniagaan saya baru sebulan lebih dan dalam proses untuk ke pasaran yang lebih besar.

No comments:

Post a Comment

 

Baru@Bukit Raja

Search This Blog