Kuala Lumpur: Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, semalam, mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, keputusan diambil bagi memberi laluan kepada golongan muda untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin dan berkhidmat kepada masyarakat.
"Saya sudah menyatakannya sebelum ini. Saya tidak mahu bertanding lagi. Umur saya sudah pun mencecah 70 tahun, jadi biarlah pilih yang muda," katanya kepada media selepas program Bicara Perdana Bersama Tan Sri Rafidah Aziz, anjuran SME Corp dan Persatuan Peniaga dan Usahawan Malaysia (PERDASAMA) di sini, semalam.


Usul nama kepada PM

Rafidah, bekas menteri paling lama pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berkata beliau juga sudah mengusulkan beberapa nama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya.

"Saya rasa Perdana Menteri memahami kehendak saya. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan," katanya.

Sementara itu, Rafidah yang petah berhujah dalam forum antarabangsa, selain pernah digelar 'wanita besi' oleh pengamal media, turut melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) akan memenangi PRU-13 dengan majoriti dua pertiga.