KRATIE - Para pengawal sungai Kemboja berusaha menyelamatkan kehidupan ikan lumba-lumba dengan melakukan rondaan di Sungai Mekong bagi memastikan tiada aktiviti nelayan dan penduduk yang boleh menjejaskan kehidupan haiwan itu.Menurut beberapa pakar, punca kematian ikan lumba-lumba dewasa adalah disebabkan jaring pukat hanyut yang ditinggalkan terlalu lama di sungai itu.
Pakar-pakar berkenaan percaya kehidupan ikan lumba-lumba berwarna kelabu itu berada dalam keadaan bahaya dan berdepan ancaman kepupusan di sungai tersebut.
Jumlah haiwan dewasa itu yang dikenali sebagai ikan lumba-lumba air tawar Irrawaddy adalah antara 85 hingga 150 ekor.
Seorang pengawal sungai, Pech Sokhan berkata, pihaknya perlu mendidik penduduk pada setiap hari tentang bahaya penggunaan pukat tersebut untuk menangkap ikan kerana ia boleh membahayakan ikan lumba-lumba.
Pukat hanyut dan kurungan ikan diharamkan di sungai itu.
Bagaimanapun, para pesalah yang menggunakan kaedah menangkap ikan tersebut tidak akan ditangkap atau didenda tetapi peralatan perikanan mereka dirampas. - AFP
No comments:
Post a Comment