Niaga barang lusuh

06 September 2012

APAKAH perasaan sepasang ibu dan ayah, tatkala anak-anak mendapat kelulusan yang baik dalam peperiksaan dan layak melanjutkan pendidikan namun terbantut dek kekangan kewangan?
Demikianlah kegetiran dalam membuat keputusan yang pernah dilalui oleh Abdul Rahman Abdul Razak, 56, dan isterinya, Norhayati Rosmah Harun, 47, sebelum ini, apabila kemiskinan menjadi batu penghalang buat mereka mencipta wawasan hari muka.
"Dua orang anak kami, seorang mendapat pangkat tiga Prinsipal dalam Sijil Tinggi Persekolahann Malaysia (STPM) dan seorang lagi mendapat pangkat kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terpaksa memendamkan hasrat menyambung pelajaran.
 
"Mereka sendiri menolak untuk ke universiti alasan tidak mahu melihat kami susah menyara mereka," demikianlah kisah yang diungkap Abdul Rahman.
Katanya, bukan setakat itu sahaja, pernah anak lelaki mereka yang kala itu bersekolah rendah, enggan ke sekolah.
"Apabila ditanya, dia memberitahu perihal diejek kawan-kawan, kerana saban hari berpakaian lusuh ke sekolah. Mujurlah dia minat sangat bidang mekanik dan sekarang dia belajar sendiri dan bekerja sendiri sebagai mekanik," tambah Norhayati pula.
Pasangan beranak enam itu juga, pernah meniti susah payah kehidupan dan membina keluarga dengan menjadi penghuni setinggan.
"Kami pernah mendiami setinggan, iaitu di Kampung Temenggung, Gombak. Kala itu, rumah itu kami amat sederhana. Suami saya hanya bermodalkan RM300 dan kawan-kawan datang menolong untuk membinanya. Tiada bekalan elektrik dan air paip. Kami hidup berbekalkan air jernih dari kawasan bukit dan malamnya hanya cahaya lilin yang menerangi kami.
 
"Walau bagaimanapun, kehidupan kami yang beranak masih mampu berjalan dengan agak baik. Ini kerana, suami saya tidak perlu memikirkan untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan juga bil air. Kami hanya perlu memikirkan untuk mencari wang bagi menyediakan makanan dan pakaian sahaja," ujar Norhayati.
Menurut Norhayati lagi, suaminya kala itu hanya bekerja sebagai penjual ayam di Pasar Borong Selayang. Gajinya tidaklah sebesar mana, hanya sekadar cukup buat menyara keluarga.
"Puas bekerja dengan orang, saya pernah mencuba membuka kedai ayam sendiri, iaitu sekitar tahun 1990-an. Malangnya, perniagaan saya tidak begitu menjadi dan rugi," tambah Abdul Rahman pula.
 
Awal tahun 2000, mereka mendapat tawaran perpindahan ke Flat Selayang Mulia, lantaran kawasan setinggan mereka akan dimajukan.
Ini bermakna, mereka bakal mempunyai komitmen kewangan bulanan secara tetap yang sebelum ini tidak pernah termasuk dalam senarai perbelanjaan bulanan. Tiga beban baru sudah menanti, iaitu bayaran ansuran bulanan rumah serta bil elektrik dan air.
"Gaji suami tidak menentu kala itu. Sebulan pendapatannya kurang daripada RM500 bahkan ada masanya, hanya mencecah RM300. Manakan untuk membeli makanan lagi, menjelaskan segala bil dan juga ansuran rumah, memang tidak cukup.
"Akibatnya, kami tidak mampu menjelaskan bayaran rumah. Walaupun hanya berjumlah RM290 sebulan. Apabila berlaku tunggakan, ia begitu membebankan. Enam bulan tertunggak, jumlahnya sudah mencecah ribuan ringgit. Kala itulah, kami disarankan oleh kawan-kawan agar memohon bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor (LZS)," cerita Norhayati.
Nota: Abdul Rahman dan Norhayati menjalankan perniagaan dengan mencari barangan lusuh di sekitar Gombak, Kuala Lumpur dan Rawang. Bagi sesiapa yang mahu menjual barangan lusuh dan terpakai kepada mereka, sila hubungi Abdul Rahman di talian 017-3883907.

No comments:

Post a Comment