HAMPIR tiga tahun Yasmin Ahmad meninggalkan kita tetapi apa yang ditinggalkan seperti masih hidup sehingga hari ini. Semakin lama tarikh pemergian Yasmin ditinggalkan, semakin menebal rindu ahli keluarga, sahabat handai dan para pencinta karya seninya.
Kenangan yang ditinggalkan oleh Yasmin cukup besar pengaruhnya kepada seluruh peminat karyanya. Filem-filem kontroversi dan iklan-iklan televisyen yang cukup manis masih didambakan biarpun semua itu sudah tidak bererti lagi.
Untuk terus mengenang jasa dan pengorbanan yang telah ditinggalkan, buku Yasmin How You Know telah dilancarkan pada hari Isnin yang lalu bertempat di Kinokuniya, KLCC.
Dalam suasana yang cukup santai, buku ini sebenarnya menjadi tanda ingatan kepada Yasmin. Di luar jangkaan ramai, buku ini sebenarnya mengandungi anekdot dan pesan yang pernah ditinggalkan oleh Yasmin kepada orang disekelilingnya ketika hidup.
Semua bait kata-kata yang ditinggalkan bagaikan satu perjalanan lengkap kepada buku setebal 192 muka surat ini. Apa yang paling manis apabila kata-kata tulus Yasmin, bila dibukukan seperti sebuah puisi yang cukup bermakna.
Menyelak helaian demi helaian buku Yasmin, How You Know ini, dapat dirasakan keikhlasan yang terpamer saat Yasmin mencatatkan kata-kata tersebut. Pesanan yang ditulis dengan hati yang suci akhirnya diterjemah oleh sang penerima dengan pelbagai rasa.
Buku sahaja pesan yang tercatat dalam buku serba putih berkenaan, tetapi ada juga pelbagai cerita dan puisi yang dikarang oleh Yasmin sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai 2009.
Kata-kata yang ditinggalkan amat lengkap dan jelas. Dari soal kerja, soal cinta termasuklah soal perasaan diungkapkan dengan penuh kasih sayang kepada insan yang mengasihinya selama ini.
Memperinci satu persatu cerita yang terkandung, ada rasa duka, sedih, gembira dan tak kurang juga jenaka yang membuat sesiapa sahaja tersenyum.
Buku hasil usaha syarikat Leo Burnett Group Malaysia ini akan menjadi penyambung ingatan tulus pembaca terhadap Yasmin. Setiap hasil jualan buku tersebut akan disumbangkan kepada Persatuan Bantuan Perubatan Malalaysia (Mercy).
SETIAP saat semangat juang Yasmin ada bersama orang yang disayanginya. Begitu juga dengan Datin Orked Ahmad yang juga merupakan adik kandung kepada Yasmin. Dia sebak setiap kali mengenangkan pemergian kakaknya tetapi reda dengan ketentuan itu.
Kata Orked, buku ini dihasilkan atas usaha memperingati jasa Yasmin yang banyak terlibat dalam kerja kreatif termasuklah filem dan bidang pengiklanan. Malah buku Yasmin How You Know juga dihasilkan oleh rakan-rakan tempat dia bekerja khusus untuk memperingatinya.
"Memang setiap tahun saya dan rakan-rakannya akan melalukan sesuatu untuk mengenangnya. Kali ini kita kumpul hasil tulisan Yasmin seterusnya menghasilkan buku ini.
"Hanya ini cara untuk kami mengenang jasa yang ditinggalkan. Paling tidak kita tahu masih ramai yang merindui hasil seni Yasmin," katanya.
No comments:
Post a Comment