PETALING JAYA - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia milik Tan Sri Tony Fernandes, terus memainkan peranannya dalam pembangunan sukan tanah air, terbaru dengan penubuhan Akademi Badminton AirAsia (AABA).
AirAsia selama ini telah pun menjalankan beberapa inisiatif dan antara paling berjaya pastinya melahirkan pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin, yang kini tergolong sebagai penunggang terkemuka dalam kategori berkenaan.
Kini, Tony dengan kerjasama bekas pemain negara, Jason Lim Tat Liong berhasrat mencari permata badminton negara untuk diasah menjadi 'Lee Chong Wei' baru.
"AirAsia sentiasa aktif terlibat dalam pembangunan belia dan sukan. Salah satu contoh terbaik pastinya peranan kami dalam membantu Zulfahmi Khairuddin sejak 2009 menerusi Program Wildcard AirAsia Malaysia.
"Tiga tahun berlalu, dia yang menunggang untuk Pasukan AirAsia-SIC-Ajo kini mencabar kelompok 10 teratas dalam Moto3 dan beberapa kali sangat hampir meraih podium pertama.
"Jadi dengan penubuhan AABA, kami berharap dapat membangunkan bakat seperti Fahmi, tetapi dalam sukan badminton dan semoga satu generasi baru pemain badminton bertaraf dunia dan juara akan dapat dilahirkan melalui inisiatif ini," kata Fernandes pada pelancaran AABA cawangan Petaling Jaya yang menggunakan pusat badminton SP Forum 19, di sini semalam.
Termasuk Petaling Jaya yang memiliki 16 gelanggang, AABA juga dibuka di Kepong (16) dan Klang (13) dengan 120 remaja berusia 12 tahun ke atas telah pun mendaftar sebagai ahli AABA.
Jason, yang bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan AABA, berkata: "Akademi ini lain daripada yang lain kerana kami membenarkan pelatih kami bertanding di peringkat antarabangsa. Kami menawarkan pelbagai pendedahan supaya mereka boleh matang dengan cepat.
"Saya tahu misi mencari Lee Chong Wei baru sukar, namun tidak mustahil."
No comments:
Post a Comment